SIMPANG AMPAT - Kerajaan negeri meminta Jabatan Pertanian Negeri melalui Jabatan Pertanian Daerah mengenal pasti kawasan tanah terbiar yang dapat dibangunkan sebagai kawasan pertanian terancang. Usaha ini dilakukan bertujuan untuk memberi peluang kepada pengusaha yang berminat untuk menyertainya.
Exco kerajaan negeri, Law Choo Kiang berkata Program Bumi Hijau adalah salah satu langkah kerajaan untuk membantu rakyat yang semakin merasai bebanan hidup akibat kenaikan harga barang di pasaran.
“Ini adalah langkah kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menangani tekanan ekonomi. “Keadaan ekonomi yang tidak menentu akan menambah bebanan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Program Bumi Hijau bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Sekiranya penduduk mengikuti program ini dengan betul, ia dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bagi membeli sayur-sayuran. Selain itu, kerajaan negeri berharap program ini dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri yang segar, berkhasiat dan selamat. “Penduduk di bandar yang tinggal di taman atau di flat dapat mengikuti program ini kerana penggunaan kawasan yang kecil untuk menanam sayur-sayuran.
“Penduduk dapat memanfaatkan kawasan lapang di sekeliling rumah untuk menghasilkan keperluan harian yang boleh menjimatkan perbelanjaan,” kata Law. Penerangan Program Bumi Hijau disampaikan oleh Jabatan Pertanian Daerah SPS dan berlangsung di dewan Sekolah Agama Al-Ihsaniah Simpang Ampat.