Pertandingan bola sepak Pas dapat penyertaan Vietnam
BATU KAWAN - Sebuah pasukan bola sepak dari Vietnam antara 32 pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak anjuran Pas cawangan Kampung Baru, di sini.
Pertandingan yang diadakan secara kalah mati itu menawarkan wang tunai sebanyak RM1,500 secara keseluruhan dan sambutannya cukup menggalakkan.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Batu Kawan, Mohd Sofi Abu berkata, penganjuran pertandingan tersebut bertujuan merapatkan hubungan pimpinan Pas Kawasan dengan orang ramai.
“Pertandingan ini merupakan inisiatif kita mendekati orang ramai khususnya remaja dan belia dalam usaha kita memupuk ukhuwah sesama kita sama ada orang Islam atau bukan Islam.
“Penganjuran ini juga sebahagian daripada aktiviti Pas cawangan untuk membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan gejala sosial di kalangan masyarakat dan perlu diadakan program berfaedah seperti ini dari masa ke semasa,” katanya.
Menurut Sofi, , program yang julung kali diadakan sebagai acara tahunan ini dapat memupuk nilai murni di antara masyarakat sekitar.
“Program sebegini dilihat dapat memberikan medium terbaik kepada golongan remaja dalam mempertingkatkan kemahiran selain mengasah bakat mereka untuk diketengahkan. “Kita lihat ramai bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan di samping mempunyai potensi untuk maju ke hadapan,” katanya.
Oleh itu katanya, mereka tidak mahu bakat ahli pasukan disia-siakan, malah jika mempunyai peluang mereka ingin pasukan tersebut melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dan mencapai kejayaan. Pas cawangan tersebut juga berazam untuk mengadakan pertandingan yang lebih besar lagi pada masa akan datang supaya lebih banyak lagi pasukan yang dapat mengambil bahagian.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Law Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun. Manakala majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Batu Kawan, Yusuf Hashim.
Berita Dari Sinar Harian